Pada 21 April, bertempat di Dataran Perhimpunan Sekolah Kebangsaan Seri Kuala, satu majlis rasmi telah diadakan bagi melancarkan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang secara serentak di seluruh Malaysia. Program ini merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai salah satu usaha menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid-murid sejak dari peringkat sekolah rendah lagi.
Majlis dimulakan pada jam 7.30 pagi selepas perhimpunan mingguan, dengan ucapan ringkas oleh Guru Besar SK Seri Kuala. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan memupuk rasa cinta kepada negara melalui simbol-simbol kebangsaan seperti Jalur Gemilang.
Acara kemudiannya diteruskan dengan simbolik penyematan lencana Jalur Gemilang kepada wakil-wakil murid daripada setiap kelas. Penyematan ini dilakukan oleh guru besar dan beberapa guru kanan, sebagai tanda rasmi pelancaran pemakaian lencana oleh semua murid dan warga sekolah.













Selesai penyematan, semua warga sekolah berdiri teguh menyanyikan lagu Negaraku dan Jalur Gemilang dengan penuh semangat dan rasa bangga. Lagu-lagu patriotik ini dilaungkan dengan iringan kibaran bendera kecil oleh murid-murid yang menyemarakkan lagi suasana majlis. Sebelum bersurai, sesi bergambar beramai-ramai telah diadakan sebagai kenangan rasmi bagi sekolah.







Pelancaran ini berjaya menyemai semangat perpaduan dan cintakan negara dalam kalangan murid-murid serta memberi kesedaran akan peranan mereka sebagai generasi pewaris masa hadapan.






