
Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Ke-43 SK Seri Kuala bagi tahun 2025 telah diadakan dengan jayanya di Dewan SK Seri Kuala bermula jam 2.00 petang hingga 5.00 petang. Kehadiran ibu bapa amat memberangsangkan, sekali gus mencerminkan keprihatinan komuniti terhadap perkembangan dan pembangunan pendidikan anak-anak di sekolah ini. Mesyuarat ini merupakan platform tahunan penting bagi membincangkan hal ehwal semasa sekolah serta penglibatan ibu bapa dalam merancang program sokongan pendidikan.






Majlis dimulakan dengan ketibaan para jemputan termasuk ibu bapa dan penjaga, diikuti ketibaan VIP iaitu Puan Wan Mohalina binti Wan Mohamad, Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Komuniti Sungai Petani yang turut merasmikan mesyuarat ini. Acara diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku, bacaan doa, tayangan montaj dan persembahan khas oleh murid-murid. Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Guru Besar SK Seri Kuala dan diikuti ucapan daripada YDP PIBG. Majlis kemudian dirasmikan secara rasmi oleh VIP jemputan, yang turut memberikan kata-kata semangat serta sokongan kepada semua warga sekolah dan ibu bapa.






Selepas rehat ringkas pada jam 3.15 petang, mesyuarat dimulakan secara rasmi. Antara agenda yang dibentangkan termasuk pengesahan minit mesyuarat Agung ke-42, pembentangan dan penerimaan laporan tahunan serta penyata kewangan. Selain itu, mesyuarat juga membahaskan beberapa usul penting serta melaksanakan proses pemilihan ahli Jawatankuasa PIBG bagi sesi 2025/2026. Dua orang juruaudit turut dilantik bagi sesi baharu. Mesyuarat ditutup dengan ucapan penangguhan, cabutan bertuah serta jamuan ringan sebelum majlis bersurai pada jam 5.00 petang.






Secara keseluruhannya, Mesyuarat Agung PIBG kali ini telah berlangsung dengan lancar dan penuh semangat kerjasama antara ibu bapa, guru dan pihak pentadbiran sekolah. Diharapkan hasil perbincangan dan keputusan mesyuarat dapat memperkukuhkan lagi usaha menjayakan visi dan misi SK Seri Kuala.












