Pada 25 Februari 2025, Sekolah Kebangsaan SK Seri Kuala telah mengadakan Majlis Pelantikan Pemimpin Cilik bertempat di Dataran SKSK. Majlis ini diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada pelajar yang telah dilantik sebagai pemimpin sekolah untuk sesi 2025. Program bermula pada pukul 7.45 pagi dengan ucapan aluan oleh pengerusi majlis, diikuti dengan bacaan doa bagi memberkati majlis. Seterusnya, Guru Besar menyampaikan ucapan yang menekankan kepentingan kepimpinan di kalangan pelajar serta peranan mereka dalam membantu pihak sekolah ke arah kecemerlangan.

Majlis diteruskan dengan acara utama iaitu penyampaian watikah pelantikan kepada pemimpin cilik yang terdiri daripada beberapa jawatan penting di sekolah. Antara pemimpin yang menerima watikah pelantikan ialah Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah, Pembimbing Rakan Sebaya, Pengawas Surau, serta Ketua dan Penolong Kelas. Setiap pemimpin yang dilantik diberikan amanah dan tanggungjawab tertentu dalam memastikan kelancaran pengurusan sekolah serta membantu guru dalam pelbagai aspek pentadbiran.

Selepas penyampaian watikah, semua pemimpin cilik yang dilantik membaca ikrar pelantikan sebagai simbolik kesediaan mereka untuk menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab. Majlis diakhiri dengan sesi fotografi bersama barisan pentadbir sekolah sebagai kenang-kenangan. Tepat jam 8.45 pagi, majlis berakhir dengan jayanya dan semua murid bersurai dengan tertib.

Secara keseluruhannya, majlis ini telah berlangsung dengan lancar dan berjaya mencapai objektif yang diharapkan. Semoga pemimpin cilik yang dilantik dapat menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah serta menjadi contoh teladan kepada rakan-rakan lain.

Pemimpin cilik berjiwa waja,
Tegas, amanah, penuh setia.
Menjadi contoh, berbakti sentiasa,
Membantu sekolah, membawa bahagia.

Watikah diberi tanda percaya,
Tanggungjawab digalas penuh setia.
Semoga berjaya, terus berusaha,
Jadi pemimpin, berakhlak mulia.

Shares:
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *