Pada 26 Mac 2024, Sekolah Kebangsaan SKSK telah mengadakan Majlis Pelancaran Program Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) di Dataran Gemilang. Program ini bertujuan untuk membentuk peribadi murid yang berakhlak mulia, berdisiplin, dan bertanggungjawab selaras dengan nilai-nilai murni yang diterapkan dalam pendidikan.


Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan dan bacaan doa, diikuti dengan ucapan perasmian oleh Guru Besar. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan sahsiah terpuji dalam membentuk generasi berilmu, berdisiplin, dan berhemah tinggi. Beliau juga berharap agar program SUMUR dapat dijadikan amalan harian dalam kalangan murid dan warga sekolah.

Sebagai simbolik pelancaran, satu gimik khas telah diadakan, disertai dengan lafaz ikrar sahsiah unggul oleh semua murid. Murid-murid juga diperkenalkan kepada beberapa aktiviti yang akan dijalankan di bawah program ini, termasuk Kempen Sopan Santun, Sahsiah Terpuji Harian, dan Penghargaan Murid Berakhlak Cemerlang.



Majlis berakhir dengan sesi motivasi ringkas serta bacaan ikrar bersama, menandakan komitmen warga sekolah dalam menjayakan SUMUR. Diharapkan program ini dapat membentuk murid yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga dalam sahsiah dan keperibadian.
Tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini!






